News

? Back

February 2005Hospital Temerloh model projek baru

4 Feb 2005
Utusan Malaysia

TEMERLOH 3 FEB- Hospital Temerloh yang dibina dengan kos RM480 juta dan akan beroperasi April, bakal dijadikan model kepada semua projek hospital sekali gus menjadi kebanggaan rakyat negara ini di abad ke-21.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, hospital baru itu yang serba moden menyediakan pelbagai kemudahan perubatan tercanggih selain kepakaran kelas dunia bagi menampung 498 katil pesakit.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan itu standing malah lebih baik daripada di beberapa pusat perubatan swasta terkenal di negara ini yang mengambil kira keperluan rakyat pada masa ini.

“Ia termasuklah Pusat Rawatan Pesakit Luar, Unit Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi yang turut dilengkapi kolam hidroterapi moden, pusat pentadbiran serta wad-wad persakit,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyerahan hospital itu daripada SPK-Sentosa Corporation Bhd (SPK-Sentosa) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan di hospital itu di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Kerja Raya, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar.

Penyerahan rasmi hospital itu dilakukan oleh Pengerusi SPK Sentosa, Tan Sri Yaacob Mat Zain, kepada Syed Jamal yang kemudianya diserahkan pula kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Ismail Adam yang mewakili Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek.

Projek pembinaan Hospital Temerloh bermula Mac 2002 dan siap sepenuhnya Januari tahun ini, enam bulan lebih awal daripada tempoh sebenar.

Samy Vellu seterusnya berkata, kemudahan di hospital itu juga merangkumi blok hospital dan wad utama, blok podium, blok menara, 13 bilik bedah, klinik pakar serta tujuh blok pangsapuri kediaman dan kuarters kakitangan.

Pada siding akhbar selepas itu, Ismail memberitahu, sejurus beroperasi awal April ini, seramai 750 kakitangan termasuk 69 doktor dan doktor pakar Hospital Mentakab akan dipindahkan ke hospital baru itu untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada orang ramai.

Bangunan Hospital Mentakab sedia ada pula jelasnya, akan digunakan sebagai poliklinik selain untuk menjalankan aktiviti lain termasuk pusat latihan.

Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan pembinaan projek Hospital Temerloh yang ciri reka bentuknya hasil kombinasi penyediaan kemudahan perubatan canggih dan keselesaan untuk pesakit dan pelawat.

spk in the news


more news

Copyright © 2013 Sharikat Permodalan Kebangsaan Berhad 196101000067(4115-H). All rights reserved.

Web Design by CNTSB Malaysia.