News

? Back

February 2005Hospital Temerloh taraf dunia

4 Feb 2005
Berita Harian
Oleh: Noorwati Salleh

TEMERLOH: Hospital Temerloh bernilai RM480 juta yang dijangka mula beroperasi awal April ini akan menjadi model bagi pembinaan hospital kerajaan pada masa depan, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata, hospital canggih, dan memaparkan reka bentuk mesra pengguna dan bertaraf dunia itu mempunyai pelbagai kemudahan standing atau lebih baik berbanding beberapa pusat perubataan swasta terkenal negara ini.

Katanya, kemudahan itu mengambil kira keperluan masyarakat termasuk Pusat Rawatan Pesakit Luar, Unit Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi dilengkapi kolam hidroterapi moden, pusat pentadbiran serta wad canggih.

“Hospital ini mempunyai 480 katil, tetapi jika perlu, ia mampu menampung 700 katil” katanya berucap pada majlis penyerahan rasmi HospitalTemerloh, di sini, semalam. Teks ucapanya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kerjaraya 3, Datuk Mohamad Gading, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Ismail Adam, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Mohd Ismail Marican, dan pengerusi SPK-Sentosa Coproration Bhd, Jen (B) Tan Sri Yaacob Mat Zin.

Penyerahan hospital itu dilakukan Syed Jamal kepada Ismail yang mewakili Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek.

Samy Vellu berkata, keseluruhan kompleks hospital berkenaan merangkumi blok hospital, 13 bilik bedah, klinik pakar dan tujuh blok pangsapuri kediaman dan kuarters kakitangan.

“Selain itu, ia dilengkapi peralatan klinikal dan diagnostik, khidmat sokongan dan wad berteknologi tinggi.

“Apa yang membanggakan ialah projek itu disiapkan lebih awal iaitu dalam tempoh 34 bulan berbanding 40 bulan yang biasanya diperlukan untuk menyiapkan kebanyakan projek seperti itu.

“Kejayaan projek itu mencerminkan satu lagi pengiktirafan kepada pereka bentuk dan kontraktor Malaysia yang membuktikan bahawa kita mempunyai kepakaran untuk membina kemudahan kepakaran untuk membina kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf dunia,” katanya.

Samy Vellu berkata, selain kemudahan dan peralatan teknologi tinggi, perhatian khusus diberikan kepada reka bentuk, seni bina dan lanskap, termasuk kemasan yang digunakan untuk lantai, siling serta dinding seluruh hospital itu.

“Bangunannya berwajah moden, dikelilingi laman dan taman untuk mewujudkan ruang tenang dan damai untuk orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pemberian kontrak bagi projek seperti itu perlu menerusi proses penapisan dan pemilihan ketat kerana ia bukan saja perlu menilai keupayaan dan pengalaman pengurusan projek, tetapi memastikan kos berpatutan.

“Dengan itu, saya berharap pembinaan hospital ini akan menjadi contoh kepada kontraktor lain, bukan saja untuk menyiapkan kerja tetapi mencapai piawaian kualiti lebih tinggi dan mengikut jadual,” katanya.

spk in the news


more news

Copyright © 2013 Sharikat Permodalan Kebangsaan Berhad 196101000067(4115-H). All rights reserved.

Web Design by CNTSB Malaysia.