News

? Back

March 2005Hospital Temerloh mula operasi April

11 Mac 2005
Berita Harian

TEMERLOH: Hospital Temerloh (HT) bernilai RM480 juta akan memulakan perkhidmatan pada 1 April ini selepas rawatan percubaan kepada pesakit selama enam hari bermula 23 Mac ini dilaksanakan bagi memastikan semua peralatan moden di situ berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, Hospital Mentakab (HM) akan terus dibuka khusus untuk perkhidmatan pesakit luar dan haemodialisis, selain ruang wad pesakit sebelum ini digunakan untuk latihan.

Sultan Pahang bertitah rakyat perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan canggih yang disedikan kerajaan di HT dan berusaha memuliharanya dengan baik kerana kos dilaburkan adalah tinggi.

Titahnya, Kementerian Kesihatan menerusi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Ismail Adam, turut memberi jaminan kemudahan Pengimbas imej Magnetik (MRI) bernilai RM5 juta dan kemudahan pembedahan jantung terbuka juga akan disediakan di HT dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tahun depan.
“Saya menasihatkan rakyat menggunakan sepenuhnya kemudahan canggih di sini dan bertanggungjawab menjaganya kerana ia disediakan kerajaan untuk semua golongan rakyat tanpa memilih darjat”.

“Hospital ini juga menyediakan balai pelawat iaitu tempat berehat dan beribadah kepada orang ramai yang datang mengunjung pesakit di sini”, titahnya selepas melakukan lawatan kerja ke HT, di sini semalam.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang; Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat dan Hal-Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Ishak Muhamad; dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.

HT termasuk Pusat Rawatan Pesakit Luar, Unit Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi yang dilengkapi kolam hidroterapi moden, pusat pentadbiran dan wad canggih.

Sultan Pahang bertitah rakyat sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan seumpama itu di Pahang.

Sementara itu, Dr Hasan ketika memberi taklimat pada majlis itu berkata, selain pesakit luar dan haemodialisis, semua perkhidmatan di HM akan ditutup selepas dua minggu pemindahan dilakukan ke HT.

Beliau berkata, kemudahan 498 katil pesakit di HT sekarang berbanding hanya 330 katil di HM boleh dikembangkan kepada 700 katil pada masa depan.

“pembukaan HT menyebabkan 500 jawatan baru diwujudkan, menjadikan keseluruhan jawatan kepada 1,308 orang termasuk 22 pakar perubatan, 66 doktor bukan pakar dan 303 jururawat,” katanya.

spk in the news


more news

Copyright © 2013 SPK Berhad (4115-H). All rights reserved.

Web Design by CNTSB Malaysia.